Thursday, March 19, 2015

Anak Abah

Mama dan Abah paling suka tengok waktu kamu sedang tidur. Kadang-kadang bila kamu sudah nyenyak di atas katil, kami berdua akan mengintai dari pintu bilik. Mulalah selepas itu macam-macam yang kami bualkan tentang kamu. Abah tidak habis-habis akan cakap kamu sudah 'panjang'. Dulu kamu hanya se'panjang' hujung jari ke siku Abah sahaja. Sekarang kamu sudah besar. hampir sama tinggi dengan Mama.

Lihat gambar-gambar ini. Memang kamu sudah besar rupanya. Dulu selamba Abah mengangkat kamu kalau kamu tertidur dalam kereta pulang dari jalan-jalan. Abah angkat naik atas letak kamu di dalam bilik. Sekarang masih juga Abah angkat kadang-kadang. Tapi ada 'pit stop'. Abah letak kamu atas sofa dulu. Minum air dahulu. Rehat. Kemudian baru angkat kamu perlahan-lahan naik tangga terus ke bilik. Kemudian Abah termengah-mengah ketawa bagitau Mama, Abah sudah tak larat nak angkat kamu. Mama? Mama pernah cuba juga untuk angkat kamu. Tapi maaf Mama tak larat langsung dah. Sebab kamu berat! Waktu mama tulis ini, berat kamu sudah pun mencapai 28 kg. Alhamdulillah. Kamu membesar dengan sihat.

Walaupun kamu semakin besar panjang, tapi mama gembira melihat saat-saat seperti ini, melihat hubungan akrab kamu dengan Abah. Masih macam dulu. Masih macam budak-budak kecil. Kamu masih boleh manja-manja dengan Abah. Tidak kisah dipeluk-peluk, dicium-cium. Malah hobi kamu adalah memeluk Mama dan Abah kata kamu. Kamu tidak malu mengucapkan I love you. Sering sahaja mama dengar ucapan itu dari mulut kamu. Moga sampai besar kamu mahu mengucapkannya untuk Mama dan Abah kamu. Abah juga memang sejak kecil sangat rajin melayan kamu. Mama selalu rasa 'lega' bila Abah ada bersama. Banyak kali mama dapat 'curi-curi' ruang.  Siang tadi waktu kita makan nasik lemak berdua,  kamu cakap " Kan best kalau Abah ada." Mama tanya kenapa? Kamu jawab "kerang ni pedas sangat, kalau ada abah, mesti Abah bersihkan bagi kerang ni tak pedas, baru bagi Irfan makan." Iye, sampai ke tahap itu Abah sungguh-sungguh melayan kamu. Sebab itu bila kita keluar sama-sama, Mama asyik tersenyum sahaja.

Terima kasih Abah! Atas jasa-jasa, atas semua yang Abah buat untuk Irfan dan Mama.


2 comments:

Chech March 25, 2015 at 11:39 AM  

Alahai, sangat anak Abah! Paling suka gambar yang dua-dua pose sama :D

zubye March 29, 2015 at 11:30 PM  

Iyer Chech. tapi bila tido mesti nak mama.

Tentang dia

Pelangi. Bulan. Bintang.
Itu kamu.
Ini untuk kamu.
Dari hati Mama juga Abah.
Jadilah ia harta buatmu.
Satu hari nanti.
Kamu kan tahu.

pelangi cantik yang singgah melawat kami

Blog Archive

Pelangi sedang tersenyum

Bintang Bersinar

  © Free Blogger Templates Photoblog III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP