Friday, September 25, 2020

Pertolongan Tuhan

 "Mintalah pertolongan dari Tuhanmu melalui jalan SABAR dan SOLAT"


Minta tolong dari Tuhan.


Apapun kesulitan yang dilalui, cariklah dahulu Allah untuk mengadu segala apa sahaja yang sesak di dada. Adukan semua kepadaNya. Mengadu kepada manusia itu mungkin lebih mudah kerana diri kita yang sangat serba tidak tahu ini merasakan dengan cara itu, kita akan mendapat penyelesaian dengan cepat dari segala masalah. Tetapi manusia itu sangat terbatas pengetahuannya. Dan adakala tidak mahu pula benar2 mendengar permasalahan kita kerana dirinya sendiri sudah mempunyai masalah yang hendak ditanggung. Maka manusia hanya akan merasakan apa yang kita adukan kepadanya hanyalah bebanan. Tetapi Allah tidak. Cariklah Tuhanmu dahulu Irfan ketika kau dirundung kesedihan dan ingin meluahkan. Menangislah, adukan semua, hamburkan apa yang sesak di dada kepadaNya. Anakku, engkau mungkin tidak faham sekarang, tetapi nanti cubalah lakukan. Engkau akan merasakan kelegaan yang tiada tara selepas meluahkan kepada Allah. Dia mendengar, Irfan. Benar-benar mendengar. Jangan lah Irfan sangsi akan itu. Setelah engkau mengadu padaNya, Dia akan bukakan jalan. Dia akan memberi mu ilham untuk merungkai satu persatu permasalahan yang dihadapi. Cubalah. Tiada yang lebih melegakan dan membahagiakan selain berkata-kata dengan Allah. Bercerita dengan Allah Yang Maha Tahu.



Sabar



Sabar itu bukanlah dapat engkau peroleh dalam masa satu hari satu malam, melainkan bertahun-tahun lamanya melalui proses didikan yang didatangkan terus dari Allah. Allah akan mengajarmu bersabar mengikut kemampuanmu, sedikit demi sedikit, sehari demi sehari. Ada waktu-waktu engkau akan berjaya melaluinya. Tetapi ada waktu kesabaranmu gagal untuk dipertahankan. Tidak mengapa. Itu adalah proses. Lalui sahaja proses itu dengan baik. Lalui sahaja proses itu walau engkau dalam keadaan yang paling tinggi dalam hidupmu, atau paling bawah dalam hidupmu. Meskipun pada umur mama sekaang, mama masih gagal kadang-kadang menahan sabar. Tapi seiring umur, mama belajar cara terbaik untuk bersabar, adalah diam. Sabar dan diam itu bukan pasif, sayang. Sabar itu sabar yang aktif, bukan duduk bermenung menanti keajaiban sampai. Tetapi dalam sabar, mesti digerakkan tubuh badan untuk berusaha, di aktifkan akal untuk berfikir dan mencari ilham, digerakkan hati untuk menahan. Usaha dan sabar mesti seiring. Sabarlah ketika engkau susah. Malah lebih sabarlah ketika Allah memberikanmu kesenangan.



Solat



Solat lah 5 fardhu itu walau engkau dalam keadaan terlalu malas untuk mengerjakannya. Solatlah ketika engkau merasakan tidak ikhlas untuk menunaikannya. Solat lah sehingga solat itu betul2 sebati dengan diri dan jiwamu, sehingga engkau akan merasa tidak senang, tidak puas dan tidak lengkap hidupmu bila tidak menunaikan solat. Solatlah sampai engkau merasakan sangat bersalah apabila meninggalkannya. jangan terlalu memberatkan kepalamu dengan berfikir ikhlas atau tidak. Buat sahaja. Apa sahaja suruhan Allah di dalam Al-Quran, yang wajib dilakukan olehmu, tidak perlu engkau banyak soal dan bertanya-tanya, apalagi membantah-bantah. Tetapi buat terus.  Seperti apa yang disuruh. Nanti manisnya akan dapat engkau rasai. Solat itu umpama tiang peribadimu. Pasak yang kukuh yang membentuk dirimu. Lemah ia, maka lemahlah dirimu. Kuat ia, maka makin kuat dan kentallah peribadimu. Jangan risau, apapun nanti yang engkau hadapi dalam dunia ini, selagi engkau menjaga solatmu, akan ada pertolongan Allah untuk dirimu.



Itu sahaja buatmu dan buat mama juga kali ini Irfan. Apa yang baik itu, ambillah. Kalau ada yang tidak baik, tinggalkan.



0 comments:

Tentang dia

Pelangi. Bulan. Bintang.
Itu kamu.
Ini untuk kamu.
Dari hati Mama juga Abah.
Jadilah ia harta buatmu.
Satu hari nanti.
Kamu kan tahu.

pelangi cantik yang singgah melawat kami

Blog Archive

Pelangi sedang tersenyum

Bintang Bersinar

  © Free Blogger Templates Photoblog III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP