Friday, October 16, 2020
Ujian
Kita hanyalah hamba yang berhak diuji Tuhan. Kekallah memahami bahawa bersabar, redha menerima takdir dan memperbanyak istighfar adalah jawapan dari Allah setiap kali diri diuji.
Kemudian berikhtiarlah. Allah akan kirimkan ilhamnya.
Read more...Friday, September 25, 2020
Pertolongan Tuhan
"Mintalah pertolongan dari Tuhanmu melalui jalan SABAR dan SOLAT"
Sabar
Sabar itu bukanlah dapat engkau peroleh dalam masa satu hari satu malam, melainkan bertahun-tahun lamanya melalui proses didikan yang didatangkan terus dari Allah. Allah akan mengajarmu bersabar mengikut kemampuanmu, sedikit demi sedikit, sehari demi sehari. Ada waktu-waktu engkau akan berjaya melaluinya. Tetapi ada waktu kesabaranmu gagal untuk dipertahankan. Tidak mengapa. Itu adalah proses. Lalui sahaja proses itu dengan baik. Lalui sahaja proses itu walau engkau dalam keadaan yang paling tinggi dalam hidupmu, atau paling bawah dalam hidupmu. Meskipun pada umur mama sekaang, mama masih gagal kadang-kadang menahan sabar. Tapi seiring umur, mama belajar cara terbaik untuk bersabar, adalah diam. Sabar dan diam itu bukan pasif, sayang. Sabar itu sabar yang aktif, bukan duduk bermenung menanti keajaiban sampai. Tetapi dalam sabar, mesti digerakkan tubuh badan untuk berusaha, di aktifkan akal untuk berfikir dan mencari ilham, digerakkan hati untuk menahan. Usaha dan sabar mesti seiring. Sabarlah ketika engkau susah. Malah lebih sabarlah ketika Allah memberikanmu kesenangan.
Solat
Solat lah 5 fardhu itu walau engkau dalam keadaan terlalu malas untuk mengerjakannya. Solatlah ketika engkau merasakan tidak ikhlas untuk menunaikannya. Solat lah sehingga solat itu betul2 sebati dengan diri dan jiwamu, sehingga engkau akan merasa tidak senang, tidak puas dan tidak lengkap hidupmu bila tidak menunaikan solat. Solatlah sampai engkau merasakan sangat bersalah apabila meninggalkannya. jangan terlalu memberatkan kepalamu dengan berfikir ikhlas atau tidak. Buat sahaja. Apa sahaja suruhan Allah di dalam Al-Quran, yang wajib dilakukan olehmu, tidak perlu engkau banyak soal dan bertanya-tanya, apalagi membantah-bantah. Tetapi buat terus. Seperti apa yang disuruh. Nanti manisnya akan dapat engkau rasai. Solat itu umpama tiang peribadimu. Pasak yang kukuh yang membentuk dirimu. Lemah ia, maka lemahlah dirimu. Kuat ia, maka makin kuat dan kentallah peribadimu. Jangan risau, apapun nanti yang engkau hadapi dalam dunia ini, selagi engkau menjaga solatmu, akan ada pertolongan Allah untuk dirimu.
Itu sahaja buatmu dan buat mama juga kali ini Irfan. Apa yang baik itu, ambillah. Kalau ada yang tidak baik, tinggalkan.
Tuesday, October 8, 2019
Tawakkal
Thursday, March 28, 2019
D'Coconut Lagoon (East Wing), Pulau Lang Tengah, Terengganu Malaysia
Kira-kira sebulan sebelum cuti sekolah, kakak hantar message dekat whatsapp dengan menyertakan sekali satu link pakej percutian ke Pulau Lang Tengah, yang gambar-gambarnya sangatlah memanggil-manggil. Sebab dah lama sangat tak ke pulau, maka saya terus menyahut ajakannya. Pejam celik, akhirnya sampailah kami ke sini.
Petang Jumaat, selepas ambil Irfan di Bentong, kami pun meneruskan perjalanan ke Terengganu. Mulanya cadangnya hendak ikut jalan tepi laut macam biasa sebelum-sebelum ini kami ke Terengganu. Tapi memandangkan hari pun dah gelap, kami memilih untuk ikut highway sahaja. Tak sangka pula saya perjalanan di lebuh raya menyajikan permandangan matahari tenggelam yang cukup indah. Pertama kali kami ke Terengganu menggunakan jalan lebuhraya. Saya tak terfikir untuk keluarkan kamera waktu itu. Tetapi dengan asyik menikmati panorama matahari jingga hinggalah langit menjadi hitam pekat. Malam itu, setelah kepenatan berada di dalam kereta berjam-jam, kami pun tidur di Merang.

Petang tu juga, lepas lunch pukul 12.30 tengahari, pukul 2.30 petang pula kami telah dibawa snorkeling ke dua kawasan. Itulah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua orang termasuklah mak mak dan bapak bapak orang. Walaupun dah bertahun juga tak pergi snorkeling, budak-budak ni selamba terjun tiruk dari atas bot ke dalam laut. Bukan main seronok snorkeling sampai tak sedar dah berenang jauh. Banyak juga ikan-ikan yang terdapat di sini. Tapi, saya tak nafikan, kecantikan alam laut di Redang lebih memukau. Mungkin sebab coral di sini ada yang dah mati dan tidak bewarna warni seperti di Redang. Pun begitu kami adalah sangat gembira sekali sebab dapat snorkeling puas-puas. Ikan-ikannya pun bermacam jenis, pelbagai saiz dan warna. Boleh sentuh-sentuh pulak dengan tangan kita. Mereka nampak shark. saya pulak.. bila dengar shark, terus berenang jauh-jauh. hahahha. penakutttt!
Selepas snorkeling naik bot, masih tak puas-puas lagi, terutama yang budak-budak, kami sambung pulak snorkeling depan hotel. Untung, tidak perlu pergi jauh-jauh kat depan hotel pun ada banyak ikan warna warni. Nemo pun ada. Penat snorkeling dan berenang-renang, sambung pula main menyelam-nyelam di celah-celah batu. Irfan macam-macam yang dikutipnya. Dari siput sampailah gamat!
Kemudian, dalam pukul 6 lebih, kami berjalan kaki ke west wing pula. Sebab dari sana boleh nampak sunset. Sambung lagi berenang di pool dan pantai di west wing. Gambar-gambar west wing, nanti next episode InsyaAllah saya letak k! Ini semua gambar-gambar di east wing.
ok.. enjoy the pics!
Nanti sambung lagi. Read more...
Thursday, March 7, 2019
Rumah kita. Syurga kita.
2019.
Permulaan baru yang telah Tuhan janjikan rahmat di dalamnya. Alhamdulillah.
Keluarga kecil, rumah kecil, kebahagiaan besar.
Begitu perasaan kita.
Kita tidak tahu corak masa hadapan yang telah ditulis Tuhan.
Kita hidup dalam momen yang sekarang.
Kita menghargai dari sekecil-kecil perkara.
Kita nikmati dengan penuh syukur dengan apa yang telah kita punya.
Kita berbahagia dan berterima kasih atas kasih sayang yang kita rasa.
Kita berimpian dan dengan tidak putus asa berusaha menggapainya.
Kita berdoa dan tidak pernah berputus harap.
Dan selebihnya, kita serahkan kepada Tuhan menentukan jalan yang terbaik untuk hidup kita.
Dalam hidupmu duhai anakku..
Apapun yang sedang engkau jalani..
Percayalah dengan segenap seluruh jiwa ragamu.
Perencanaan Allah itu adalah yang terbaik.
Read more...
Friday, February 8, 2019
Melaka
Tidak ada buat apa-apa perancangan pun hendak ke sini. Sehari sebelum kejadian, log in booking.com terus sahaja menempah bajet hotel rm70 satu malam. Nasib baiklah masih ada bilik yang kosong. Selepas mendaftar masuk jam 4 petang, baring melunjur-lunjur badan dahulu menghilangkan penat di dalam kereta (walaupun tuan empunya diri hanya menjadi penumpang sahaja.. ahaks!). Pukul 6 petang kami berdua terus berjalan tanpa hala tuju sebenar. Rupa-rupanya hotel tempat kami menginap itu terletak berdekatan dengan Sungai Melaka tempat famous pelancong naik boat cruise di sana.
Kami pun terus melangkah sehinggalah terbau-bau aroma durian yang sangat menggoda. Oh! di sebelah kanan kami rupa-rupanya ada satu cafe yang menghidangkan pelbagai jenis cendol, termasuklah cendol durian. Terus kami ke meja kosong dan aku beratur untuk memesan cendol durian satu mangkuk untuk dikongsi berdua. Makan berkongsi-kongsi, begitu romantik terasa, meskipun dalam hati kecil ini sebenarnya mahu makan cendol itu sorang-sorang seluruhnya! Isi duriannya tebal-tebal, ada 2 ulas pula tu. Aku menjeling-jeling sahaja suami bila dia kelihatan begitu berselera sekali menikmati durian tersebut. Bimbang pula rasa kalau dihabiskannya. Begitulah lahapnya seleraku apabila dihadapkan dengan durian. Meriah suasana di situ. Meja-meja diletakkan di luar cafe, jadi para pengunjung dapat terus makan dan minum sambil menikmati permandangan sepanjang Sungai Melaka. Kalau kalian mahu pergi, google sahaja tempatnya : Cendol Kampung Hulu.
Selepas kenyang makan cendol dan roti john,kami meneruskan perjalanan menyelusuri Sungai Melaka. Aku pernah berpengalaman menaiki boat sebelum ini beberapa tahun yang lampau waktu tengahari, tetapi secara peribadi aku lebih gemarkan suasana kawasan ini di kala senja. Tidak terik, dan tidak juga pekat hitam. Warna jingga saat matahari terbenam disimbah dengan sinaran lampu yang menghiasi jalan, bersatu dengan cahaya yang datangnya dari bangunan-bangunan berekabentuk unik ini, ditambah pula dengan lukisan-lukisan pelbagai warna di dinding bangunan, membuatkan suasananya begitu asyik sekali. Dan sekali sekala, boat pelancong lalu dari kedua-dua arah, membelah air sungai. Diam-diam aku terperasan-perasan sendiri yang kononnya kami sedang berbulan madu di luar negara. Kerja kami juga tiada lain, sambil berbual-bual, kau ambil gambar aku.. aku ambil gambar kau, dan kita ambil gambar berdua secara selfie.
Gambar di bawah ini pula aku di celah-celahan puluhan manusia yang membanjiri lorong ini berhimpit-himpit ke hulu ke hilir mencari apa, aku pun tidak tahu. Aku tidak berniat untuk membeli belah, sekadar ingin berpengalaman merasai atmosfera pasar malam yang dikatakan terkenal di bandar ini. Mana lagi, kalau bukan Jonker Street. Tidak aku nafikan banyak yang unik-unik didagangkan, yang antik-antik dijual, memang syurga agaknya untuk mereka yang gemar, tetapi untuk aku, cukuplah sekadar mencuci mata. Aku hanya mencapai sehelai tshirt yang aku beli cenderahati untuk anak bujang yang tak pernah lepas aku ingat dalam hati. . . Aku bukan lagi muda mudi seperti dahulu. Aku hanya orang tua yang ingin tahu. Hati aku sudah tidak seronok lagi dengan bunyi bising, hingar bingar, bau yang menusuk hidung boleh bikin pusing kepala. Satu-satunya sebab aku rasa bahagia dan perjalanan ini bermakna, adalah kerana aku menempuh pengalaman itu dengan seorang lelaki yang aku cinta.
Keesokan harinya, saat suami mengerjakan urusannya di Air Keroh, aku mendaftar keluar hotel jam 10 pagi. Dengan membawa beg sandang dan kamera aku sangkutkan di leher, seorang diri aku mengeksplorasi Jonker Street. Aku sudah dapat mengagak apa yang akan disajikan untuk mataku melihat, kerana sebelum ini pun aku pernah ke sini, cuma tidak aku sangka, ada beberapa pengalaman baru yang aku rasai kali ini.
Aku terus sahaja akur dengan ke mana sahaja kaki membawa aku pergi. Awalnya aku berada di lorong yang ramai manusia tak kira orang tempatan mahupun pelancong luar negara. Aku rasa agak sukar untuk aku merakam gambar dalam suasana begitu. Lalu aku hayunkan kaki jauh dari mereka dan pergi ke kawasan yang sedikit sunyi. Ini membuatkan kepala ku lebih tenang dan jiwaku tidak kacau. Waktu itulah shutter kamera berdetik-detik aku tekan merakam segala yang menangkap hati aku kala itu.
Aku terus berjalan sehinggalah aku bertemu dengan kedai berbidai kuning ini. Di hadapan pintunya ada seorang lelaki yang baru keluar dari kedai. Aku rasa usianya dalam lingkungan umur ayahku. Aku memberanikan diri menegurnya, bertanya jika kedai itu miliknya. Katanya, kedai itu milik rakannya. Aku tidak pernah melakukan perkara ini yakni mengajak orang asing untuk diambil gambar olehku. Entah macamana hari itu datang keberanianku untuk bertanya sekiranya aku boleh mengambil gambarnya berlatarbelakangkan bidai kuning bertona striking itu. Dengan senyum, pakcik itu terus bersetuju. Aku dengan ikhlas memuji-muji penampilannya yang kemas. Dia tersenyum dan menyambut baik pujianku. Aku merakam gambarnya dengan hati yang senang. Hari itu aku belajar satu perkara : If you want something, there is no harm to try. People cannot read your mind. Be genuine and politely, just ask.
Ini pula stranger kedua yang aku sapa. Seorang nyonya yang sedang asyik menghias pohon di hadapan rumah sempena Tahun Baru Cina. Awalnya dia kelihatan malu-malu, dan aku tidak juga terus menyuakan kameraku, sehinggalah dia merasa selesa selepas beberapa minit kami berborak, barulah aku dapat mengambil gambarnya yang sedang asyik begitu. Dalam hati aku rasa seperti ada semangat yang baru. Rupa-rupanya telah aku korek salah satu keupayaan diriku yang sebelum ini tidak pernah aku tahu.
Dan lelaki tua berusia 70 an (sebelah kiri gambar bawah) ini pula mempunyai kisahnya tersendiri. Dia mewarisi kedai ini dari datuk nenek moyangnya yang telah lama mengoperasi bisnes ini sejak tahun 1938. Ia merupakan satu bisnes keluarga turun temurun. Banyak yang dia tanya kepadaku, terutama sekali tentang fotografi. Aku menjadi lebih 'terbuka' dengan pakcik ini dan kami berbual sambil boleh bergelak ketawa. Oleh kerana dia juga minat dalam fotografi, dia pun menunjukkan kepadaku gambar-gambar lama hitam putih keluarganya. Ada sekeping gambar sewaktu dia berusia kira-kira lima tahun, dia meminta aku meneka mana satu dirinya dalam gambar itu. Aku merenung dalam-dalam lantas menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang sedang berdiri di bahagian kiri gambar. Dia mengatakan tepat sekali tekaanku. Secara berseloroh aku mengatakan mataku sudah biasa merakam gambar kanak-kanak, sehingga mereka sudah tua pun aku akan tahu dia yang mana satu! Oleh kerana ramai yang datang ke kedainya waktu itu, aku mengakhiri pertemuan dengan membeli 2 keping fridge magnet untuk buat kenang-kenangan, meskipun dia kelihatan mahu meneruskan perbualan kami. Sekarang, apabila melihat fridge magnet itu di peti aisku, aku akan teringat tentang pertemuan kami yang singkat itu.
Aku bersyukur sepanjang aku berjalan seorang diri di sini, Tuhan sepanjang masa telah melindungiku dari segala malapetaka. Alhamdulillah. Sememangnya sepanjang jalan aku berdoa untuk keselamatan diri. Selalu aku amalkan Bismillahi tawakkal tu 'alallah. Laa hau la wa laa quwwata illa billahil 'aliyil 'azim. Aku tahu ke mana-manapun senjataku adalah doa dan yakin Tuhan akan memelihara.
Kakiku sudahpun penat. Perutku pun sudah lapar. Baru aku perasan rupa-rupanya aku tidak menjamah sebarang makanan pun sejak keluar dari hotel. Agak sukar mencari makanan yang kedainya ada bertanda Halal di sini. Ada satu yang aku tahu, yang berdekatan dengan Masjid Kampung Hulu. The Straits Werks and Cafe namanya. Aku pun ke sana dan orang belum ramai kerana kedai baru dibuka jam 12 tengahari. Aku menempah set asam pedas dan segelas kopi. Sambil makan, aku membuka buku 'Dear John..' satu novel yang sedang aku baca saat itu. Kemudian aku duduk-duduk lagi di bangku menghadap Sungai Melaka, melayan perasaan sendiri, dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Barulah aku melihat telefon untuk online dan update sekeping gambar di instagram. Setelah lelah aku hilang, Terus aku mengambil grab untuk ke Air Keroh yang mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan, untuk bertemu suamiku semula. Sekali lagi, di dalam kereta, bibirku tidak henti berdoa akan keselamatanku, biar Tuhan melindungiku sepanjang masa. Read more...