Ramadhan di kampung
Kalau sudah namanya Ramadhan, sememangnya ia teramat istimewa dihayati walau dalam bentuk apapun, di mana jua pun. Auranya jauh berbeza berbanding bulan-bulan lain yang kita tempuh dalam setahun. Segalanya lebih pada bulan ini. Berkatnya lebih. Keistimewaannya lebih. Ganjarannya lebih-lebih lagi. Alhamdulillah kini sudah hampir 10 tahun kamu; telah serba sedikit kamu memahami apa itu puasa; yang bukan setakat menahan lapar dan dahaga.
Panjangnya usia kita dapat menyambut Ramadhan lagi kali ini tanda rahmat Allah tidak ternilai. Apa lagi bila dapat menyambutnya dengan orang-orang yang kita sayang; terutama sekali keluarga kita. Bila melihat mereka sihat, itu juga satu nikmat. Terutama Nenek dan Atok yang angka usianya semakin lama semakin meningkat. Sudah tentu buat mereka, mama berhajat mahu menggembirakan. Dan pada usia mereka yang begitu pada mama, lawatan dari anak cuculah yang sangat ditunggu-tunggukan. Maka syukurlah semalam dan kelmarin dapat kita ke kampung mama lagi jumpa atok dan nenek dan merasa suasana puasa di kampung pula. (Atok dan nenek sudah berada di sini since selasa lepas. Weekend lepas kita buka puasa sama2 di Gombak).
Pohon gajus yang nenek tanam sudah besar tetapi rendang. Redup di bawahnya. Sampai2 sahaja kita pagi itu, terus membentang tikar dan baring2 sambil membaca di bawah pokok.
Petangnya sesudah Asar, kamu dan Abah mengait buah kelapa di belakang rumah, untuk buat air kelapa muda sebagai minuman buka puasa nanti.
Kemudian kamu ikut Atok jalan-jalan ronda-ronda bazaar Ramadhan.
Petang dalam pukul 5 lebih, Pakcik, Auntie Annur dan Pakcu pun sampai. Berplastik-plastik membawa kuih-muih yang dibeli dari Pekan Raub.
Abah pun sudah mula menyangkul-nyangkul, menyiram pokok, membuat hobinya setiap kali datang ke sini.
Bila sudah masuk waktu, sama-sama kita berbuka. Malamnya, kamu, Atok, Abah dan Pakcik ke surau berdekatan untuk bertarawikh. (maaf mama tidak sempat ambil gambar waktu kita sedang berbuka. Bila time makan, kamera pun lupa entah ke mana :-p)
Pagi Ahad.
Ini dia daya tarikan terbaru yang terdapat di sini. Kisahnya, sahabat baik nenek iaitu Cik Yah telah meninggal dunia tahun lepas. Arwah ada memelihara beberapa ekor angsa di rumahnya. Rumahnya terletak selang sebuah dari rumah nenek. Ntah macamana, angsa ini dengan sendiri datang ke rumah nenek pada satu hari dan kelihatan kelaparan, maka nenek pun memberinya makan. Setelah bertanya dengan anak Cik Yah, dia menyuruh nenek sahaja yang menjaga angsa ini. Maka jadilah ia binatang peliharaan kesayangan nenek sekarang.
Bermain-main dengan angsa adalah satu perkara baru bagi kamu. Kalau dulu, mama langsung tidak berani mendekati binatang ini kerana sifatnya yang popular iaitu menyudu dan menyodok sesiapa sahaja yang ingin mendekat. Tapi lain halnya dengan angsa ini. Manja bak kata nenek. Tidak pernah cuba 'menyerang' manusia. Lalu, peluang itu pun kamu guna untuk cuba memegang dan berjinak-jinak dengannya.
Berkebun. Kamu pun menolong Abah menanam pokok durian belanda. Doa-doalah pokok ni sihat. Membesar dan ada hasil nanti boleh makan ramai-ramai buahnya.
Pukul 2 petang kita sudah bersiap-siap hendak balik KL. Ikut hati memang hendak berlama-lama di sini sekurang-kurangnya lepas buka puasa baru balik. Tapi tidaklah dapat nak tunaikan hasrat hati tu sebab memandu pada waktu malam agak merbahayakan. Dari rumah ini ke Raub, seterusnya ke Bentung tidak ada lampu jalan. Bergelap gulita. Lembu melintas pun tak perasan. Maka terpaksa jugalah kita balik petang itu. Walau pun memang tidak cukup puas lagi berada di sini, tapi tetaplah kita bersyukur. InsyaAllah kalau panjang umur dan tiada halangan, kita usahakan pulang lagi bila-bila ok!
Oh! aktiviti terakhir ialah memetik pucuk gajus yang montel2 seperti dalam gambar bawah ni. Buat ulam buka puasa di rumah dicicah bersama sambal belacan.
Kepada Allah kita pohon agar DIA selalu memelihara dan menjaga Atok dan Nenek di sana. Jumpa di Gombak nanti!
Aamiin.
Read more...