Your cuddly companions
Mama dan Abah ingat sangat tahun lepas, sesudah sambut hari jadi Irfan yang ke 8, Irfan mintak sesuatu.
"Tahun depan, birthday Irfan tak mau apa-apa. Irfan nak mintak satuuuu je boleh tak? Irfan nak pet. Irfan nak kucing."
Mama dan Abah belum bersedia waktu itu. Jadi kami tidak mahu menjanjikan apa-apa. Sekadar senyap, tapi kamu terus meminta. Jawapan masa itu tetap sama.
"Belum masanya, Irfan."
Kalau sudah takdir, dan bila masanya tepat, Allah sahaja lah yang Maha Tahu. Dia memberi Irfan 'kawan' tanpa payah untuk Irfan mencarinya. Bukan Mama. Bukan Abah yang beri. Allah yang bagi hadiah itu.
Ramadhan lepas, seekor kucing sentiasa merayau-rayau dalam kawasan rumah kita. Minta makan. Minta tempat perlindungan. Sungguh rezeki di bulan puasa. Kita pun menjaganya. Hari raya, dia ditinggalkan seminggu. Mama dan Abah tidak mengharap begitu tinggi kucing itu akan masih berada di rumah kita. Mungkin sudah ke rumah lain barangkali.
Sangkaan kami meleset. Balik raya sebaik ternampak kereta kita, nun dari jauh kita lihat dia berlari menyambut kita pulang. Kasihannya rasa melihat dirinya sudah kurus, comot dan matanya sepet sebelah. Sedih. Malam itu kamu menangis semasa hendak tidur. Tersedu-sedu menyatakan kebimbangan takut kucing itu tidak akan hidup lagi esok hari. Mama dan Abah pun janji akan bawa kucing itu ke klinik secepat mungkin.
Maka esoknya kita ke klinik. Kamu berkeras ingin menggunakan duit raya kamu untuk menanggung semua kos perubatan kucing itu. Mula-mula mama rasa berat hati sebab fikir itu duit raya kamu. Kasihan pula. Tapi dalam masa yang sama, kami rasa keinginan kamu itu mencerminkan sifat kamu yang pemurah dan tidak berkira. Walaupun untuk haiwan, kamu sanggup memberi. Maka, segala perbelanjaan untuk kucing itu (sehingga kini) kamu yang salurkan. Melalui wang yang kamu kumpul hari-hari. Melalui wang tabung kamu kadang-kadang. Mama dan Abah bantu sikit-sikit mana yang perlu.
Kucing semakin sihat. Hati semakin sayang melihatnya. Kamu semakin mesra dengannya. Masih ingat kenangan waktu memberikan dia ubat. Sungguh lucu. Berejam kita mencuba, sampai Abah tercedera semata-mata ingin pastikan si kucing makan ubatnya. Parut di belakang badan Abah menjadi satu tanda kita sayang betul dengan kucing ini. Ketawa bila mengingatnya.
Nama pun akhirnya diberi.
Lili.
Ini dia Lili kita yang cantik berseri. Yang menambahkan bahagia dalam keluarga.
Sapalah sangka, lebih kurang 2 bulan kemudian kita lihat perut Lili memboyot. Bunting rupanya. Tidak pernah terbayang yang rumah ini akan mempunyai anak-anak kucing yang bakal lahir. Mama suka, tapi mama sangat takut kucing. Sejarah kucing peliharaan mama dan pakcik makcik kamu dulu, beranak di atas badan mama ketika mama tidur telah membuat mama trauma. Hingga sekarang mama takut anak kucing terutamanya. Maaflah. Mama masih mencuba hilangkan ketakutan mama itu.
Seminggu sebelum kita meraikan majlis harijadi kamu yang ke 9, Lili awal-awal sudah menghadiahkan kamu sesuatu. Masih ingat permintaan masa hari jadi kamu tahun lepas? Iya tahun ini ianya menjadi kenyataan. Istimewanya, bukan mama dan bukan abah juga yang memberi. Allah yang memberi melalui Lili kesayangan hati.
Anak-anaknya.
Anak-anaknya.
22 September 2014. Selamat sudah Lili melahirkan 4 ekor anak kucing yang comel. Kembang hati kamu dia bersalin sama bulan dengan hari lahir kamu. Lebih istimewa dan mendatangkan kesan, kamu sendiri yang melihat bagaimana payah Lili melahirkan. Saat-saat itu kamu saksikan dengan perasaan bercampur baur, Mama tahu. Pengalaman pertama kamu yang mama rasa takkan kamu lupa sampai bila-bila. Bersinar-sinar mata kamu melihat anak-anak Lili. Puas benar rasanya barangkali.
Hari kedua kamu mula memegang mereka. Sayang sangat, tidak sabar-sabar hendak main sama.
Inilah anak-anak Lili itu.
Usia mereka hari ini 18 hari. Orang kata dah cukup sebulan nanti lagi seronok main dengan mereka. Sabar Irfan. Mama pun dah geram rasa nak main-main sama.
Yang sulung, Daisy
Yang nombor 2; Kaira
Jasmine nombor 3.
Si Bongsu Lloyd
Bersyukur selalu.
Read more...
Cantik-cantik adik beradik bermata biru.
Jangan lupa doakan kesejahteraan mereka selalu, Irfan. Moga sihat tubuh badan mereka, membesar dengan baik. Dapatlah jadi peneman dan kawan yang boleh dipeluk-peluk nanti.
Lihatlah dengan mata hati kamu Irfan. Betapa Allah sayangkan kamu bukan? DIA beri apa yang kamu hendak dari sumber yang tidak disangka. DIA menggembirakan kamu dengan cara NYA yang cukup istimewa. Sungguhpun kamu tidak dapat apa yang kamu inginkan, Allah tetap sayang kan kamu. Sebab Allah bila hendak memberi, DIA hanya akan bagi yang terbaik sahaja. Jadi apa sahaja yang kita dapat sekarang adalah yang terbaik datang dariNYA. Apa yang kita tak dapat pun, yang Allah simpan itu lebih baik untuk kita.
Percaya itu.
Bersyukur selalu.
Kamu akan bahagia insyaAllah.