Showing posts with label suara hati mama. Show all posts
Showing posts with label suara hati mama. Show all posts

Friday, May 22, 2015

Secebis kisah kehidupan

Seperti biasa, sepertinya minggu-minggu yang lain, seorang ibu menanti anaknya di hadapan pintu masjid, usai solat Jumaat hari itu. Masjid hampir lengang. Jemaah lain sudah ramai yang pulang. Sengaja ibu mengambilnya sedikit lewat kerana tidak mahu berasak-asak dengan ramainya umat berpusu-pusu meninggalkan masjid, bertebaran semula berkeliaran di bumi nan luas, mencari rezeki untuk anak dan isteri.
Dari jauh dilihat anaknya, rindu betul hati seorang bernama ibu itu, walaupun yang memisahkan hanya kira-kira satu jam lebih sekejapnya. Ibu melihat kulit wajah anaknya yang sememangnya putih itu berbirat-birat kemerahaan. Telinganya juga turut merah warnanya macam lepas dipulas orang.
Sedikit pelik, si ibu bertanya “Kenapa merah-merah pipimu, anak?”
Jawab si anak sungguh bersahaja “Oh, tadi saya membantu Pakcik masjid menggulung tikar sembahyang, ibu. Kali ini saya membantu menggulung karpet. Karpet yang berat itu saya angkat sorang-sorang. Bergesel-gesel karpet itu dengan pipi dan telinga saya.”
Kembang-kembang hatinya, dia menyambung “Abang darjah 5 pun tidak mampu mengangkatnya seorang. Tapi saya boleh mengangkatnya. Mungkin sebab saya selalu menolong ibu mengangkat kampit beras di kedai runcit. Sungguh berat ibu, terhuyung hayang badan saya jadinya. Tapi saya hendak cuba juga. Lihat ini ibu.”
Ditunjukkan pula lengannya yang putih itu juga berbirat-birat kemerahan lantaran gigihnya dia menolong mengangkat karpet sesudah solat. Terbayang-bayang dalam kepala ibunya, senget-senget bahu dan badan si anak menampung gulungan karpet yang digagahkan untuk mengangkatnya seorang.
Si ibu tersenyum. Dalam mata anaknya dilihat menyala-nyala, sungguh bersemangat dia ingin menempuh hidup. Walau belum sampai sepuluh tahun usianya. Sudah faham benar si ibu dengan laku si anak, memang gemar membantu. Setiap jumaat selepas solat, kadang-kadang sengaja dipesan kepada si ibu agar mengambilnya lambat, kerana hendak menolong menggulung tikar katanya. Ibu setuju, kerana permintaan itu muncul dari kehendaknya sendiri, tidak ada sapa-sapa yang memaksa. Tapi hari itu, ibu yang pengasih itu merasa hiba hatinya. Kerana kisah berbirat merah sebab mengangkat karpet ini pertama kali dalam pengalamannya. Dalam senyum, cuba dia bertanya lagi pada anaknya..
“Kamu menggulung dan mengangkat tikar setiap minggu, bukan? Adakah Pakcik yang sama yang kamu bantu itu setiap minggu?”
“Iya, ibu. Pakcik yang sama.”
“Apa dia sudah kenal akan kamu? Apa pernah kamu menegurnya?”
“Saya takut hendak menegurnya, ibu. Wajahnya garang. Saya jadi takut. Hendak senyum pun rasa tak jadi.”
“Lain kali, kamu tegur sahaja. Atau tidak pun, sekurang-kurangnya kamu senyum padanya.”
“Tapi saya takut, ibu. Wajahnya masam. Tidak dilihatnya saya. Macam tiada saja saya di situ.”
Ibu melirik pada anaknya. Dilihatnya ada air muka yang sedikit hampa.
“Pasti setiap minggu dia sedar akan kamu yang membantunya. Adakah anak-anak lain seusia kamu yang membantu?”
“Tidak ada, ibu. Mereka semua telah berangkat ke sekolah. Tinggal saya dan ada abang darjah 5. Yang lain semua sudah besar-besar.”
“Aneh.” terlontar kata hati si ibu.
“Apa yang aneh, ibu?” tanya si anak ingin tahu.
“Setiap minggu kamu membantunya dengan relamu, pasti sudah dicamnya wajah kamu. Ibu rasa aneh kerana antara kamu masih belum saling kenal mengenal. Kenapa ya begitu?”
Si ibu tahu benar, mungkin si anak berharapan tinggi Pakcik itu yang akan menegurnya dahulu. Tetapi lantaran wajahnya yang garang, membantutkan kehendak anak yang sememangnya ramah semulajadi itu untuk memulakan bicara bertegur sapa.
Tidak mengapalah. Birat itupun lambat laun akan hilang. Sebagai lelaki, pada firasat ibu, perlu juga anaknya itu merasa sulit-sulit yang sedikit. Biar nanti payah yang besar-besar tidak canggung dia menghadapinya.
Lalu, berlegar-legar ilham dalam fikiran si ibu ingin melantunkan kata-kata yang paling sesuai dan indah untuk halwa telinga anaknya. Agar dia mengerti inilah maksudnya sebuah kehidupan.
“Duhai anakku, perbuatan yang engkau lakukan itu cukup terpuji. Mahumu untuk membantu adalah kerana terbitnya rasa ikhlas dalam jiwamu. Tidak langsung kamu mahu dibalas, hatta dengan perkataan terima kasih sekalipun daripada Pakcik itu. Orang tua itu mungkin sudah lelah sehari-hari membanting tenaga. Banyak agaknya masalah di dalam kepalanya. Lantas dia lupa untuk memberi sedikit penghargaan pada dirimu, walaupun dengan hanya sekuntum senyuman. Penat sangat dia barangkali, anak. Engkau janganlah ambil hati. Tidak mengapa. Biar orang lain walau selepas ini, sapa-sapa pun tidak sedar akan kebaikanmu, teruslah kamu membuat kebaikan, anak. Dari situ nanti terbentuknya jiwa kamu yang luhur. Buah dari benih keikhlasan hatimu. Apa sahaja balasan orang terhadap kamu, usah diharapkan. Kerana insyaAllah, keikhlasan hati kamu itu lebih mulia nilainya di sisi Tuhan. Apa lagi yang hendak kamu harapkan selain dari sebaik-baiknya balasan Tuhan. Itulah yang paling cukup, anak.”
Dipeluk anak itu, dicium dahinya. Digosok-gosok pipi dan lengan yang berbirat tadi. Di hadiahkan senyuman yang paling cantik.
Anaknya jua tersenyum. Mengangguk-angguk tanda faham. Di situ, di rumah ibadah yang mulia itu, dia sudah belajar tentang rencah kehidupan yang baru setahun jagung dilaluinya. Sudah kenal dia dengan ragam manusia. Manusia yang adakalanya sentiasa letih tubuh badannya, hanya diri sendiri yang dibimbanginya. Yang kadang-kadang tersengaja atau tidak, tidak terlintas dalam dirinya bahawa dalam lelahnya, sedikit senyuman itu tidaklah memerlukan kudrat sekuat mana. Tidak sedar dia dengan senyuman ataupun tepukan mesra dibahu, dan usapan kasih di kepala si kecil, bakal membahagiakan jiwa si anak. Tidak sedar dia kadang-kadang, membahagiakan jiwa orang lain bererti membahagiakan jiwanya juga. Terlupa dia barangkali yang apabila membuat orang gembira, maka akan hilanglah segala letih, penat, lelahnya. Tidak terucap puasnya jua.
Sayang sekali, terlepas pandang dia.
Ya, barangkali dia terlupa..

Read more...

Thursday, May 7, 2015

Pak Ngah

Tentang Pak Ngah kamu. Catatan hati dari jiwa seorang adik. semoga kamu belajar daripadanya, Irfan.



Barangkali saya bukan merupakan adik yang sempurna. Dan terkadang jua, sangat sulit memahami tentang kepayahannya. Namun tidak mahu saya ber kalau kalau di sini.. “kalau dia masih ada..” “andai lah saya sempat...” Sekalipun tidak mahu saya berfikir sedemikian. Saya redha sebenar redha dengan apa yang telah ditentukan. Setiap perencanaan telah diolah cantik oleh Allah untuk saya dan keluarga. Siapa saya untuk ber kalau kalau lagi?

Saya tahu apa yang telah saya lalui ini adalah satu ilmu. Angah lebih banyak mengajar saya setelah dia tiada. Saya ditarbiyah secara langsung melalui sebuah kematian. Ilmu itu tidak terdapat dalam mana-mana buku, melainkan melalui perjalanan hidup yang hendak kita pandang sebagai pengajaran. Ia tidak diajar di mana-mana universiti, melainkan universiti yang namanya kehidupan.

Bagaimanapun jua ilmu yang saya dapat, ianya adalah untuk dimanfaatkan. Malah saya kira ia juga untuk memanfaatkan. Rugilah saya kalau tidak belajar apa2 dari sebuah kematian, malah rugi jugalah saya jika tidak dapat memanfaatkan orang lain melalui apa yang saya alami. Hidup ini tidak lama. Amalan tidak sebanyak mana. Ilmu yang bermanfaat barangkali dapat menjadi bekal dekat sana. Lalu kisah ini saya tulis. Agar ia tidak hilang, tidak juga berlalu begitu sahaja.

Saya mahu ingat hari terakhir saya dengan Angah. Bacalah dengan mendalami apa yang tersirat yang ingin saya maksudkan.

Berita Angah tenat telah tersebar pada hari sabtunya. Kuasa Allah, DIA menstabilkan Angah saya sementara, dan pada waktu itu hati kecil sudah berkata, Allah ingin memberikan kami peluang. Dalam pada rasa ingin menafikan, terlintas juga.. barangkali peluang ini untuk yang terakhir. Lalu, Angah saya ziarahi. Dia masih boleh bergurau senda dengan kami adik beradik – sebagaimana yang biasa dilakukan saat sihatnya. Dia periang dan gemar berlawak jenaka. Itu sisi Angah yang mahu saya kenang. Malah gambar terakhir saya dengannya pun memperlihatkan wajahnya yang riang yang cuba disorokkan kesakitannya.

Tiba waktu habis melawat. Saya, suami dan Irfan perlu pulang. Tapi demi Tuhan, hati saya berat. Angah memberi isyarat menyuruh saya balik. Saya faham apa tujuannya berkata demikian. Tapi kaki saya seakan telah terpaku di situ. Dalam bilik ketika itu hanya ada saya dan seorang makcik. Tetapi diluar bilik ada abang dan adik saya yang masih menanti untuk masuk ke dalam. Mana mungkin saya mahu mementingkan diri, andai terlalu lama saya di situ orang lain tidak dapat melawatnya. Ya, menziarahnya mungkin buat kali terakhir.

Saya tahu Allah itu baik. Rancangan DIA untuk saya diatur dengan baik dan cantik sekali. Sebelum saya keluar melangkah, saya pegang kuat-kuat tangan Angah. Sejuk. Saya rasa kakinya. Sejuk. Lalu saya ambil selimut dan menyelimutkannya. Saya gosok-gosok tangannya agar biar ia berhaba sedikit. Agar ada rasa hangat pada tangannya yang sejuk dan pucat. Lama saya buat begitu sebelum saya salam dan kucup tangannya. Dia pegang tangan saya kuat. Saya pegang lebih erat. Kuat, kejap dan erat. Masing-masing tidak mahu melepaskan. Hanya bahasa bisu yang menjadi pengantara di antara kami. Kemudian dengan rasa sedih yang tertahan-tahan saya tanyakan padanya kalau dia mahu saya suapkan jeli yang ada di situ untuk menaikkan paras gulanya. Dia angguk. Saya hanya dapat memberi dia dua suapan kerana selapas itu tiada makanan yang larat hendak ditelannya. Kerana makanan yang masuk semua dikeluarkan. Badannya menolak.

Masanya telah tiba. Sekali lagi kami bersalaman. Sekali lagi tangannya kuat menggenggam tangan saya seperti tak mahu dilepaskan sedang mulutnya berkata-berkata “Baliklah cepat, kesian Zul dan irfan tunggu di bawah. Rumah korang dah lah jauh.” Saya menggenggam tangannya dan jari jemarinya yang sudah tinggal tulang itu erat-erat. Air mata saya tahan agar tidak tumpah di hadapannya. Angah saya memerlukan kekuatan dari insan-insan yang dia sayang, Saya kucup dahinya berkali-kali. Saya bisikkan padanya yang Allah selalu dekat. Saya ucap padanya yang saya sayangkan dia. Jawabnya “Angah tahu.”. Dia senyum. Saya cakap juga yang saya selalu mendoakan dia. Jawabnya lagi “Angah tahu.” Saya lihat matanya sudah berkaca merah. Saya kucup dia sekali lagi sebelum saya melangkah pergi.

Esoknya saya pergi melawat lagi. Tapi sampai-sampai sahaja saya lihat keadaan Angah sudah terlalu tenat. Badannya sudah tidak mampu digerakkan. Matanya masih terbuka, dia sedar tetapi nafasnya berombak-ombak dibantu mesin pernafasan.

Dalam perit, namun syukur segala syukur saya panjatkan pada Ilahi. DIA baik, memberi saya peluang terakhir itu. Dia memberi saya kesempatan untuk berada bersama Angah waktu saat akhirnya walaupun sekejap. Saya sempat mengatakan saya sayang padanya pada hari sebelumnya – buat pertama kali juga yang terakhir. Waktu dia masih boleh mendengar. Sekurang-kurangnya Angah tahu isi hati adiknya.

Begitulah apa yang saya belajar. Tuhan simpan sesuatu pada awalnya untuk memberi yang terbaik pada akhirnya. Tuhan mahu saya bersyukur pada saat yang sama sedang diuji. Saya kira itu kenangan indah saya dengan Angah. Walaupun tidak banyak yang mampu saya lakukan ketika waktu hayatnya, saya mahu menghayati segalanya dari sudut yang positif. Saya mahu pandang walau dalam keadaan macamanapun, Allah itu tetap yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

** Akan saya sambung lagi kisah ini lain hari bila sampai waktu Allah izinkan..

Wallahu'alam.

Read more...

Tentang dia

Pelangi. Bulan. Bintang.
Itu kamu.
Ini untuk kamu.
Dari hati Mama juga Abah.
Jadilah ia harta buatmu.
Satu hari nanti.
Kamu kan tahu.

pelangi cantik yang singgah melawat kami

Blog Archive

Pelangi sedang tersenyum

Bintang Bersinar

  © Free Blogger Templates Photoblog III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP