Tuesday, August 25, 2015
Wednesday, August 5, 2015
Kuching travelog {part 2} | Satu hari raya
1 Syawal.
Hari raya semua rasa indah belaka
Tiap keping gambar terselit macam-macam cerita
Siapalah yang memberi keindahan itu kalau bukan Tuhan yang Satu
Kepada DIA mestilah kita ingat selalu.
Syukur mesti sentiasa pahat kuat-kuat dalam hati
Umur kita panjang, murah rezeki, tahun ini dapat raya sama-sama lagi
Mak tok Abah tok sudah pasti gembira sekali
Dapat raya dengan semua anak menantu, cucu-cucu semuanya tahun ini.
Kepada Allah mesti kita ingat
Sebab DIA yang beri semua ini, kalau tak, kita tak dapat
Doa selalu untuk ahli keluarga agar semua sihat-sihat belaka
Biar jauh, dalam ingatan sentiasa ada.
Read more...
Kuching travelog {part 1} | Setelah dua tahun...
Kalau tengokkan kepada jumlah gambar yang begitu banyak yang mama ambik masa kat kuching kita spent selama 10 hari tu, mama pun tak pasti sampai part berapa agaknya entry travelog kuching ni (dan tidak pasti juga bila kan sudahnya - bergantung pada situasi kerajinan mama untuk update ye irfan). Takpelah.. we go with the flow dulu.. so better we start than nothing at all.
Jadi untuk 1st part - gambar2 semasa kita berlepas dari KL dan 2 hari pertama kita berada di sana. Dan sempatlah kita berpuasa 2 hari di kuching. Dan dapat jugak mama makan ikan terubuk bakar yang mama idam-idam dan aim sejak dari KL lagi waktu buka puasa. Oh ya.. kamu dapat berpuasa penuh tahun ini. Alhamdulillah dan tahniah!
Read more...
Monday, June 29, 2015
Ramadhan di kampung
Kalau sudah namanya Ramadhan, sememangnya ia teramat istimewa dihayati walau dalam bentuk apapun, di mana jua pun. Auranya jauh berbeza berbanding bulan-bulan lain yang kita tempuh dalam setahun. Segalanya lebih pada bulan ini. Berkatnya lebih. Keistimewaannya lebih. Ganjarannya lebih-lebih lagi. Alhamdulillah kini sudah hampir 10 tahun kamu; telah serba sedikit kamu memahami apa itu puasa; yang bukan setakat menahan lapar dan dahaga.
Panjangnya usia kita dapat menyambut Ramadhan lagi kali ini tanda rahmat Allah tidak ternilai. Apa lagi bila dapat menyambutnya dengan orang-orang yang kita sayang; terutama sekali keluarga kita. Bila melihat mereka sihat, itu juga satu nikmat. Terutama Nenek dan Atok yang angka usianya semakin lama semakin meningkat. Sudah tentu buat mereka, mama berhajat mahu menggembirakan. Dan pada usia mereka yang begitu pada mama, lawatan dari anak cuculah yang sangat ditunggu-tunggukan. Maka syukurlah semalam dan kelmarin dapat kita ke kampung mama lagi jumpa atok dan nenek dan merasa suasana puasa di kampung pula. (Atok dan nenek sudah berada di sini since selasa lepas. Weekend lepas kita buka puasa sama2 di Gombak).
Pohon gajus yang nenek tanam sudah besar tetapi rendang. Redup di bawahnya. Sampai2 sahaja kita pagi itu, terus membentang tikar dan baring2 sambil membaca di bawah pokok.
Petangnya sesudah Asar, kamu dan Abah mengait buah kelapa di belakang rumah, untuk buat air kelapa muda sebagai minuman buka puasa nanti.
Kemudian kamu ikut Atok jalan-jalan ronda-ronda bazaar Ramadhan.
Petang dalam pukul 5 lebih, Pakcik, Auntie Annur dan Pakcu pun sampai. Berplastik-plastik membawa kuih-muih yang dibeli dari Pekan Raub.
Abah pun sudah mula menyangkul-nyangkul, menyiram pokok, membuat hobinya setiap kali datang ke sini.
Bila sudah masuk waktu, sama-sama kita berbuka. Malamnya, kamu, Atok, Abah dan Pakcik ke surau berdekatan untuk bertarawikh. (maaf mama tidak sempat ambil gambar waktu kita sedang berbuka. Bila time makan, kamera pun lupa entah ke mana :-p)
Pagi Ahad.
Ini dia daya tarikan terbaru yang terdapat di sini. Kisahnya, sahabat baik nenek iaitu Cik Yah telah meninggal dunia tahun lepas. Arwah ada memelihara beberapa ekor angsa di rumahnya. Rumahnya terletak selang sebuah dari rumah nenek. Ntah macamana, angsa ini dengan sendiri datang ke rumah nenek pada satu hari dan kelihatan kelaparan, maka nenek pun memberinya makan. Setelah bertanya dengan anak Cik Yah, dia menyuruh nenek sahaja yang menjaga angsa ini. Maka jadilah ia binatang peliharaan kesayangan nenek sekarang.
Bermain-main dengan angsa adalah satu perkara baru bagi kamu. Kalau dulu, mama langsung tidak berani mendekati binatang ini kerana sifatnya yang popular iaitu menyudu dan menyodok sesiapa sahaja yang ingin mendekat. Tapi lain halnya dengan angsa ini. Manja bak kata nenek. Tidak pernah cuba 'menyerang' manusia. Lalu, peluang itu pun kamu guna untuk cuba memegang dan berjinak-jinak dengannya.
Berkebun. Kamu pun menolong Abah menanam pokok durian belanda. Doa-doalah pokok ni sihat. Membesar dan ada hasil nanti boleh makan ramai-ramai buahnya.
Pukul 2 petang kita sudah bersiap-siap hendak balik KL. Ikut hati memang hendak berlama-lama di sini sekurang-kurangnya lepas buka puasa baru balik. Tapi tidaklah dapat nak tunaikan hasrat hati tu sebab memandu pada waktu malam agak merbahayakan. Dari rumah ini ke Raub, seterusnya ke Bentung tidak ada lampu jalan. Bergelap gulita. Lembu melintas pun tak perasan. Maka terpaksa jugalah kita balik petang itu. Walau pun memang tidak cukup puas lagi berada di sini, tapi tetaplah kita bersyukur. InsyaAllah kalau panjang umur dan tiada halangan, kita usahakan pulang lagi bila-bila ok!
Oh! aktiviti terakhir ialah memetik pucuk gajus yang montel2 seperti dalam gambar bawah ni. Buat ulam buka puasa di rumah dicicah bersama sambal belacan.
Kepada Allah kita pohon agar DIA selalu memelihara dan menjaga Atok dan Nenek di sana. Jumpa di Gombak nanti!
Aamiin.
Read more...
Sunday, June 21, 2015
Anugerah Terindah
Seperti sudah menjadi satu tradisi keluarga, hujung minggu terakhir sebelum hadirnya Ramadhan, kita akan melakukan satu aktiviti murni lagi terpuji iaitu gotong royong membersihkan belakang rumah. Aduh kasihan rumput-rumput meliar sudah menjerit-jerit minta dikemas. Tanah sudah meraung-raung minta bernafas. Nampaknya tahun ini, belakang rumah agak terbiar. Kerana sepanjang tahun ini ada keutamaan lain yang lebih perlu mama beri perhatian. Sudah pastilah keutamaan yang tidak akan disesalkan.
Alhamdulillah, tidak kita lupa akan tradisi ini untuk satu tahun lagi. Seperti sebelum sebelumnya juga, Abah kita lantik menjadi kapten kumpulan. Kita tiada pilihan lain. Memandangkan Abah merupakan calon yang paling layak kerana kepakarannya dalam bidang pertanahan mahupun perumputan, Abah sekali lagi diberikan penghormatan ini. Begitu juga prestasi Abah yang begitu baik nampaknya dalam hal-hal menabur budi kepada tanah. Abah tidak pernah mengecewakan. Ditumpahkan setiap keringat menyangkul, merumput, meratakan, dan membakar rumput-rumput kering yang telah dikumpul. Kita menolong-nolong apa yang disuruh. Abah tersenyum puas bila kerjanya telah berhasil. Mama tersenyum pasti lebih puas dan lebih luas daripada itu. lol! - Tanah sudah lapang, tiada semak lagi. Nanti boleh dirikan khemah atau main galah panjang bertiga beranak di belakang itu.
Kamu pula terkena sejenis penyakit. Namanya keobsesian melampau terhadap cangkul. Walaupun melayang-layangkan cangkul di tangan bermakna badan kurus kamu juga ikut melayang bersama, tapi gigih tetap kamu hendak melakukan. Hati kamu dihiburkan sendiri dengan sambil-sambil menyanyi lagu Taylor swift. Digoyang-goyangkan bontot sedikit. Apa saja pada kamu adalah gembira. Nampaknya cangkul lebih banyak menarik perhatian kamu. Dari cangkul kecil sampai cangkul besar. Peluang mengoperasi cangkul tidak disa-siakan oleh kamu hari itu.
Mama melihat mestilah bahagia. Melihat permandangan biasa-biasa dan sederhana begini boleh buat rasa aman damai di hati bukan kepalang. Mama tengok diri sendiri, tengok pula keadaan rumah yang serba sederhana, tidak kecil, tidak juga terlalu besar, perabot tiada yang mahal-mahal, apa adanya kita pakai, kereta pula sudah 10 tahun usianya, itulah yang dibawa ke mana-mana. Tapi mama tetap senyum. Kerana Mama tak tunggu semua lengkap baru hendak belajar apa itu bahagia. Apa yang ada inilah kita nikmati. Yang di depan mata inilah kita syukuri. Ada rumah kan kita selamat, ada tempat tinggal untuk berteduh. Mama masak sambil intai-intai kamu dan Abah berkebun di belakang rumah juga nikmat, sebab ada rezeki untuk kita makan dan minum untuk menyambung hidup. Dan yang terpenting, ada kamu dan ada Abah untuk sama-sama berkasih sayang. Nikmat Tuhan yang manakan ingin Mama dustakan? Tiada. Malah tiada.
Kita tidak sempurna. Keluarga kita juga begitu. Tetapi beruntungnya ada hati yang boleh memandu mencari dan menikmati kesempurnaan di sebalik ketidaksempurnaan itu. Bahagia bukanlah tentang apa yang dilihat. Tetapi letaknya di sini (tunjuk pada hati).
Melihat permandangan ini maka tahulah mama. Allah sudah memberi jawapan pada doa yang mama pohon tiap pagi, siang dan malam - Allah, berikanlah kami kecukupan dan hindarkanlah kami dari kemiskinan. Melihat ini, tahulah mama yang sedang kita nikmati kini adalah merupakan satu kecukupan. Cukup yang benar cukup.
Ini lah yang pada Mama sebuah Anugerah Terindah yang tidak ternilaikan. Alhamdulillah.
Read more...