Tuesday, August 25, 2015

Don't give up. I know you won't.

When one door is closed, don't you know that many more are open?


Read more...

Wednesday, August 5, 2015

Kuching travelog {part 2} | Satu hari raya

1 Syawal.

Hari raya semua rasa indah belaka
Tiap keping gambar terselit macam-macam cerita
Siapalah yang memberi keindahan itu kalau bukan Tuhan yang Satu
Kepada DIA mestilah kita ingat selalu.

Syukur mesti sentiasa pahat kuat-kuat dalam hati
Umur kita panjang, murah rezeki, tahun ini dapat raya sama-sama lagi
Mak tok Abah tok sudah pasti gembira sekali
Dapat raya dengan semua anak menantu, cucu-cucu semuanya tahun ini.

Kepada Allah mesti kita ingat
Sebab DIA yang beri semua ini, kalau tak, kita tak dapat
Doa selalu untuk ahli keluarga agar semua sihat-sihat belaka
Biar jauh, dalam ingatan sentiasa ada.




Read more...

Kuching travelog {part 1} | Setelah dua tahun...

Kalau tengokkan kepada jumlah gambar yang begitu banyak yang mama ambik masa kat kuching  kita spent selama 10 hari tu, mama pun tak pasti sampai part berapa agaknya entry travelog kuching ni (dan tidak pasti juga bila kan sudahnya - bergantung pada situasi kerajinan mama untuk update ye irfan). Takpelah.. we go with the flow dulu.. so better we start than nothing at all.

Jadi untuk 1st part - gambar2 semasa kita berlepas dari KL dan 2 hari pertama kita berada di sana. Dan sempatlah kita berpuasa 2 hari di kuching. Dan dapat jugak mama makan ikan terubuk bakar yang mama idam-idam dan aim sejak dari KL lagi waktu buka puasa.  Oh ya.. kamu dapat berpuasa penuh tahun ini. Alhamdulillah dan tahniah!


Read more...

Monday, June 29, 2015

Ramadhan di kampung

Kalau sudah namanya Ramadhan, sememangnya ia teramat istimewa dihayati walau dalam bentuk apapun, di mana jua pun. Auranya jauh berbeza berbanding bulan-bulan lain yang kita tempuh dalam setahun. Segalanya lebih pada bulan ini. Berkatnya lebih. Keistimewaannya lebih. Ganjarannya lebih-lebih lagi. Alhamdulillah kini sudah hampir 10 tahun kamu; telah serba sedikit kamu memahami apa itu puasa; yang bukan setakat menahan lapar dan dahaga.

Panjangnya usia kita dapat menyambut Ramadhan lagi kali ini tanda rahmat Allah tidak ternilai. Apa lagi bila dapat menyambutnya dengan orang-orang yang kita sayang; terutama sekali keluarga kita. Bila melihat mereka sihat, itu juga satu nikmat. Terutama Nenek dan Atok yang angka usianya semakin lama semakin meningkat. Sudah tentu buat mereka, mama berhajat mahu menggembirakan. Dan pada usia mereka yang begitu pada mama, lawatan dari anak cuculah yang sangat ditunggu-tunggukan. Maka syukurlah semalam dan kelmarin dapat kita ke kampung mama lagi jumpa atok dan nenek dan merasa suasana puasa di kampung pula. (Atok dan nenek sudah berada di sini since selasa lepas. Weekend lepas kita buka puasa sama2 di Gombak).

Pohon gajus yang nenek tanam sudah besar tetapi rendang. Redup di bawahnya. Sampai2 sahaja kita pagi itu, terus membentang tikar dan baring2 sambil membaca di bawah pokok.


Petangnya sesudah Asar, kamu dan Abah mengait buah kelapa di belakang rumah, untuk buat air kelapa muda sebagai minuman buka puasa nanti.


Kemudian kamu ikut Atok jalan-jalan ronda-ronda bazaar Ramadhan.


Petang dalam pukul 5 lebih, Pakcik, Auntie Annur dan Pakcu pun sampai. Berplastik-plastik membawa kuih-muih yang dibeli dari Pekan Raub.


Abah pun sudah mula menyangkul-nyangkul, menyiram pokok, membuat hobinya setiap kali datang ke sini.


Bila sudah masuk waktu, sama-sama kita berbuka. Malamnya, kamu, Atok, Abah dan Pakcik ke surau berdekatan untuk bertarawikh. (maaf mama tidak sempat ambil gambar waktu kita sedang berbuka. Bila time makan, kamera pun lupa entah ke mana :-p)


Pagi Ahad.

Ini dia daya tarikan terbaru yang terdapat di sini. Kisahnya, sahabat baik nenek iaitu Cik Yah telah meninggal dunia tahun lepas. Arwah ada memelihara beberapa ekor angsa di rumahnya. Rumahnya terletak selang sebuah dari rumah nenek. Ntah macamana, angsa ini dengan sendiri datang ke rumah nenek pada satu hari dan kelihatan kelaparan, maka nenek pun memberinya makan. Setelah bertanya dengan anak Cik Yah, dia menyuruh nenek sahaja yang menjaga angsa ini. Maka jadilah ia binatang peliharaan kesayangan nenek sekarang.

Bermain-main dengan angsa adalah satu perkara baru bagi kamu. Kalau dulu, mama langsung tidak berani mendekati binatang ini kerana sifatnya yang popular iaitu menyudu dan menyodok sesiapa sahaja yang ingin mendekat. Tapi lain halnya dengan angsa ini. Manja bak kata nenek. Tidak pernah cuba 'menyerang' manusia. Lalu, peluang itu pun kamu guna untuk cuba memegang dan berjinak-jinak dengannya.


Berkebun. Kamu pun menolong Abah menanam pokok durian belanda. Doa-doalah pokok ni sihat. Membesar dan ada hasil nanti boleh makan ramai-ramai buahnya.


Pukul 2 petang kita sudah bersiap-siap hendak balik KL. Ikut hati memang hendak berlama-lama di sini sekurang-kurangnya lepas buka puasa baru balik. Tapi tidaklah dapat nak tunaikan hasrat hati tu sebab memandu pada waktu malam agak merbahayakan. Dari rumah ini ke Raub, seterusnya ke Bentung tidak ada lampu jalan. Bergelap gulita. Lembu melintas pun tak perasan. Maka terpaksa jugalah kita balik petang itu. Walau pun memang tidak cukup puas lagi berada di sini, tapi tetaplah kita bersyukur. InsyaAllah kalau panjang umur dan tiada halangan, kita usahakan pulang lagi bila-bila ok!

Oh! aktiviti terakhir ialah memetik pucuk gajus yang montel2 seperti dalam gambar bawah ni. Buat ulam buka puasa di rumah dicicah bersama sambal belacan.


Kepada Allah kita pohon agar DIA selalu memelihara dan menjaga Atok dan Nenek di sana. Jumpa di Gombak nanti!

Aamiin.



Read more...

Sunday, June 21, 2015

Anugerah Terindah

Seperti sudah menjadi satu tradisi keluarga, hujung minggu terakhir sebelum hadirnya Ramadhan, kita akan melakukan satu aktiviti murni  lagi terpuji iaitu gotong royong membersihkan belakang rumah. Aduh kasihan rumput-rumput meliar sudah menjerit-jerit minta dikemas. Tanah sudah meraung-raung minta bernafas. Nampaknya tahun ini, belakang rumah agak terbiar. Kerana sepanjang tahun ini ada keutamaan lain yang lebih perlu mama beri perhatian. Sudah pastilah keutamaan yang tidak akan disesalkan.

Alhamdulillah, tidak kita lupa akan tradisi ini untuk satu tahun lagi. Seperti sebelum sebelumnya juga, Abah kita lantik menjadi kapten kumpulan. Kita tiada pilihan lain. Memandangkan Abah merupakan calon yang paling layak kerana kepakarannya dalam bidang pertanahan mahupun perumputan, Abah sekali lagi diberikan penghormatan ini. Begitu juga prestasi Abah yang begitu baik nampaknya dalam hal-hal menabur budi kepada tanah. Abah tidak pernah mengecewakan. Ditumpahkan setiap keringat menyangkul, merumput, meratakan, dan membakar rumput-rumput  kering yang telah dikumpul. Kita menolong-nolong apa yang disuruh. Abah tersenyum puas bila kerjanya telah berhasil. Mama tersenyum pasti lebih puas dan lebih luas daripada itu. lol! - Tanah sudah lapang, tiada semak lagi. Nanti boleh dirikan khemah atau main galah panjang bertiga beranak di belakang itu.

Kamu pula terkena sejenis penyakit. Namanya keobsesian melampau terhadap cangkul. Walaupun melayang-layangkan cangkul di tangan bermakna badan kurus kamu juga ikut melayang bersama, tapi gigih tetap kamu hendak melakukan. Hati kamu dihiburkan sendiri dengan sambil-sambil menyanyi lagu Taylor swift. Digoyang-goyangkan bontot sedikit. Apa saja pada kamu adalah gembira. Nampaknya cangkul lebih banyak menarik perhatian kamu. Dari cangkul kecil sampai cangkul besar. Peluang mengoperasi cangkul tidak disa-siakan oleh kamu hari itu.

Mama melihat mestilah bahagia. Melihat permandangan biasa-biasa dan sederhana begini boleh buat rasa aman damai di hati bukan kepalang. Mama tengok diri sendiri, tengok pula keadaan rumah yang serba sederhana, tidak kecil, tidak juga terlalu besar, perabot tiada yang mahal-mahal, apa adanya kita pakai, kereta pula sudah 10 tahun usianya, itulah yang dibawa ke mana-mana. Tapi mama tetap senyum. Kerana Mama tak tunggu semua lengkap baru hendak belajar apa itu bahagia. Apa yang ada inilah kita nikmati. Yang di depan mata inilah kita syukuri. Ada rumah kan kita selamat, ada tempat tinggal untuk berteduh. Mama masak sambil intai-intai kamu dan Abah berkebun di belakang rumah juga nikmat, sebab ada rezeki untuk kita makan dan minum untuk menyambung hidup. Dan yang terpenting, ada kamu dan ada Abah untuk sama-sama berkasih sayang. Nikmat Tuhan yang manakan ingin Mama dustakan? Tiada. Malah tiada.

Kita tidak sempurna. Keluarga kita juga begitu. Tetapi beruntungnya ada hati yang boleh memandu mencari dan menikmati kesempurnaan di sebalik ketidaksempurnaan itu. Bahagia bukanlah tentang apa yang dilihat. Tetapi letaknya di sini (tunjuk pada hati).

Melihat permandangan ini maka tahulah mama. Allah sudah memberi jawapan pada doa yang mama pohon tiap pagi, siang dan malam - Allah, berikanlah kami kecukupan dan hindarkanlah kami dari kemiskinan. Melihat ini, tahulah mama yang sedang kita nikmati kini adalah merupakan satu kecukupan. Cukup yang benar cukup.

Ini lah yang pada Mama sebuah Anugerah Terindah yang tidak ternilaikan. Alhamdulillah.



Read more...

Friday, May 22, 2015

Secebis kisah kehidupan

Seperti biasa, sepertinya minggu-minggu yang lain, seorang ibu menanti anaknya di hadapan pintu masjid, usai solat Jumaat hari itu. Masjid hampir lengang. Jemaah lain sudah ramai yang pulang. Sengaja ibu mengambilnya sedikit lewat kerana tidak mahu berasak-asak dengan ramainya umat berpusu-pusu meninggalkan masjid, bertebaran semula berkeliaran di bumi nan luas, mencari rezeki untuk anak dan isteri.
Dari jauh dilihat anaknya, rindu betul hati seorang bernama ibu itu, walaupun yang memisahkan hanya kira-kira satu jam lebih sekejapnya. Ibu melihat kulit wajah anaknya yang sememangnya putih itu berbirat-birat kemerahaan. Telinganya juga turut merah warnanya macam lepas dipulas orang.
Sedikit pelik, si ibu bertanya “Kenapa merah-merah pipimu, anak?”
Jawab si anak sungguh bersahaja “Oh, tadi saya membantu Pakcik masjid menggulung tikar sembahyang, ibu. Kali ini saya membantu menggulung karpet. Karpet yang berat itu saya angkat sorang-sorang. Bergesel-gesel karpet itu dengan pipi dan telinga saya.”
Kembang-kembang hatinya, dia menyambung “Abang darjah 5 pun tidak mampu mengangkatnya seorang. Tapi saya boleh mengangkatnya. Mungkin sebab saya selalu menolong ibu mengangkat kampit beras di kedai runcit. Sungguh berat ibu, terhuyung hayang badan saya jadinya. Tapi saya hendak cuba juga. Lihat ini ibu.”
Ditunjukkan pula lengannya yang putih itu juga berbirat-birat kemerahan lantaran gigihnya dia menolong mengangkat karpet sesudah solat. Terbayang-bayang dalam kepala ibunya, senget-senget bahu dan badan si anak menampung gulungan karpet yang digagahkan untuk mengangkatnya seorang.
Si ibu tersenyum. Dalam mata anaknya dilihat menyala-nyala, sungguh bersemangat dia ingin menempuh hidup. Walau belum sampai sepuluh tahun usianya. Sudah faham benar si ibu dengan laku si anak, memang gemar membantu. Setiap jumaat selepas solat, kadang-kadang sengaja dipesan kepada si ibu agar mengambilnya lambat, kerana hendak menolong menggulung tikar katanya. Ibu setuju, kerana permintaan itu muncul dari kehendaknya sendiri, tidak ada sapa-sapa yang memaksa. Tapi hari itu, ibu yang pengasih itu merasa hiba hatinya. Kerana kisah berbirat merah sebab mengangkat karpet ini pertama kali dalam pengalamannya. Dalam senyum, cuba dia bertanya lagi pada anaknya..
“Kamu menggulung dan mengangkat tikar setiap minggu, bukan? Adakah Pakcik yang sama yang kamu bantu itu setiap minggu?”
“Iya, ibu. Pakcik yang sama.”
“Apa dia sudah kenal akan kamu? Apa pernah kamu menegurnya?”
“Saya takut hendak menegurnya, ibu. Wajahnya garang. Saya jadi takut. Hendak senyum pun rasa tak jadi.”
“Lain kali, kamu tegur sahaja. Atau tidak pun, sekurang-kurangnya kamu senyum padanya.”
“Tapi saya takut, ibu. Wajahnya masam. Tidak dilihatnya saya. Macam tiada saja saya di situ.”
Ibu melirik pada anaknya. Dilihatnya ada air muka yang sedikit hampa.
“Pasti setiap minggu dia sedar akan kamu yang membantunya. Adakah anak-anak lain seusia kamu yang membantu?”
“Tidak ada, ibu. Mereka semua telah berangkat ke sekolah. Tinggal saya dan ada abang darjah 5. Yang lain semua sudah besar-besar.”
“Aneh.” terlontar kata hati si ibu.
“Apa yang aneh, ibu?” tanya si anak ingin tahu.
“Setiap minggu kamu membantunya dengan relamu, pasti sudah dicamnya wajah kamu. Ibu rasa aneh kerana antara kamu masih belum saling kenal mengenal. Kenapa ya begitu?”
Si ibu tahu benar, mungkin si anak berharapan tinggi Pakcik itu yang akan menegurnya dahulu. Tetapi lantaran wajahnya yang garang, membantutkan kehendak anak yang sememangnya ramah semulajadi itu untuk memulakan bicara bertegur sapa.
Tidak mengapalah. Birat itupun lambat laun akan hilang. Sebagai lelaki, pada firasat ibu, perlu juga anaknya itu merasa sulit-sulit yang sedikit. Biar nanti payah yang besar-besar tidak canggung dia menghadapinya.
Lalu, berlegar-legar ilham dalam fikiran si ibu ingin melantunkan kata-kata yang paling sesuai dan indah untuk halwa telinga anaknya. Agar dia mengerti inilah maksudnya sebuah kehidupan.
“Duhai anakku, perbuatan yang engkau lakukan itu cukup terpuji. Mahumu untuk membantu adalah kerana terbitnya rasa ikhlas dalam jiwamu. Tidak langsung kamu mahu dibalas, hatta dengan perkataan terima kasih sekalipun daripada Pakcik itu. Orang tua itu mungkin sudah lelah sehari-hari membanting tenaga. Banyak agaknya masalah di dalam kepalanya. Lantas dia lupa untuk memberi sedikit penghargaan pada dirimu, walaupun dengan hanya sekuntum senyuman. Penat sangat dia barangkali, anak. Engkau janganlah ambil hati. Tidak mengapa. Biar orang lain walau selepas ini, sapa-sapa pun tidak sedar akan kebaikanmu, teruslah kamu membuat kebaikan, anak. Dari situ nanti terbentuknya jiwa kamu yang luhur. Buah dari benih keikhlasan hatimu. Apa sahaja balasan orang terhadap kamu, usah diharapkan. Kerana insyaAllah, keikhlasan hati kamu itu lebih mulia nilainya di sisi Tuhan. Apa lagi yang hendak kamu harapkan selain dari sebaik-baiknya balasan Tuhan. Itulah yang paling cukup, anak.”
Dipeluk anak itu, dicium dahinya. Digosok-gosok pipi dan lengan yang berbirat tadi. Di hadiahkan senyuman yang paling cantik.
Anaknya jua tersenyum. Mengangguk-angguk tanda faham. Di situ, di rumah ibadah yang mulia itu, dia sudah belajar tentang rencah kehidupan yang baru setahun jagung dilaluinya. Sudah kenal dia dengan ragam manusia. Manusia yang adakalanya sentiasa letih tubuh badannya, hanya diri sendiri yang dibimbanginya. Yang kadang-kadang tersengaja atau tidak, tidak terlintas dalam dirinya bahawa dalam lelahnya, sedikit senyuman itu tidaklah memerlukan kudrat sekuat mana. Tidak sedar dia dengan senyuman ataupun tepukan mesra dibahu, dan usapan kasih di kepala si kecil, bakal membahagiakan jiwa si anak. Tidak sedar dia kadang-kadang, membahagiakan jiwa orang lain bererti membahagiakan jiwanya juga. Terlupa dia barangkali yang apabila membuat orang gembira, maka akan hilanglah segala letih, penat, lelahnya. Tidak terucap puasnya jua.
Sayang sekali, terlepas pandang dia.
Ya, barangkali dia terlupa..

Read more...

Tentang dia

Pelangi. Bulan. Bintang.
Itu kamu.
Ini untuk kamu.
Dari hati Mama juga Abah.
Jadilah ia harta buatmu.
Satu hari nanti.
Kamu kan tahu.

pelangi cantik yang singgah melawat kami

Blog Archive

Pelangi sedang tersenyum

Bintang Bersinar

  © Free Blogger Templates Photoblog III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP