Tawakkal
Seorang kawan, anaknya baru habis UPSR, lelaki dan anak tunggal, bertanya kepada saya, "bagaimana kau boleh lepaskan satu2nya anak yang kau ada untuk tinggal di asrama?" Kawan ini takut, bila sampai masa dia..dia tidak mampu lakukannya. Saya teramat faham. Situasi ibu ber anak seorang, apa lagi bekerja sebagai suri rumah, situasinya tidak sama dengan ibu lain di luar sana. Berbulan saya mengumpulkan semangat, dan sepanjang waktu kesunyian itu, tidak seorang pun tahu kemurungan yang saya lalui kerana saya memilih untuk tidak memberi tahu sesiapa. Saya redha dan sabar sesulit apapun dan yakin masa akan merawat semua. Kini saya boleh cerita dengan terbuka kerana mungkin dengan pengalaman saya ini, dapat memberi harapan untuk orang lain.
Nasihat saya untuknya, apabila waktu itu sampai, serahkan sahaja sebulat hati untuk bergantung dan percaya dengan qada dan qadar Allah. Kadang2 kita merasakan anak2 lebih elok duduk dengan kita sepanjang masa; terlupa pula Allah telah lebih dahulu merencana masa hadapannya yang lebih baik jauh dari pengetahuan kita. Sesayang manapun, serapat apapun kita dengan anak, selalulah ingatkan diri kembali..anak bukan milik kita. Dahulu, saya rasakan Irfan adalah kekuatan saya. Tetapi apabila saya perlu hidup sorang2 dengan anak yang jauh di mata, barulah saya sedar dan akur, kekuatan saya sebenarnya bukan pada anak, tetapi terletak pada hati yang kuat ber tawakkal kepada Allah. Sebenarnya dalam apa jua keadaan, Allah lah kekuatan kita. Selagi hati bersandar pada makhluk, selama itulah jiwa kita akan merasa resah.
Benar, bukan mudah untuk melepaskan. Apa lagi saya yang melihatnya siang dan malam, menguruskan hidupnya, mengambil keputusan berhenti kerja demi membesarkan dia sejak dia berusia 3 tahun, sesiapun yang mengenali saya tahu bagaimana hubungan saya dengan irfan seperti langsung tidak dapat dipisahkan. Di situlah ujian yang Allah datangkan. Allah akan sentiasa datangkan ujian terhadap perkara2 yang kita sayang. Sebab.. DIA ingin didik hati ini agar jangan melebihkan sayang kepada makhkluk lebih dari cinta kita untukNYA. Waktu inilah tawakkal mesti betul2 terpasak dalam hati bukan hanya mainan di bibir. Doa tiada henti dan yakin doa kita Allah jawab. Teruskan hidup dan jangan bersedih. Lakukan aktiviti2 lain yang boleh beri manfaat untuk kita.. dan ambil peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain, usaha semampunya menghadiri majlis2 ilmu, yakinlah sedikit demi sedikit Allah akan mengubat setiap sunyi kita, selagi kita tidak lupakan DIA.
Jangan risau, anak itu akan Allah uruskan sebaik-baiknya. Kerana sehebat apapun kita rasa kita dapat uruskan anak sendiri, tiada yang lebih hebat dari Sang Pencipta Yang Maha Tahu. Anak2. Satu hari nanti mereka akan tetap keluar dari rumah ibu dan bapanya. Menghayunkan kaki mencorak kehidupan sendiri. Cuma, ke manapun mereka pergi, pesanlah selalu yang baik2 untuk dia, ingatkan kasih sayang kita tidak pernah pudar dan nama dia selalu terpahat dalam doa2 kita. Selagi doa ibu ayah ada untuk mereka, insyaAllah selamat lah kehidupannya kelak. Have faith and Allah will take care of all the rest.
Read more...



