Melaka
Tidak ada buat apa-apa perancangan pun hendak ke sini. Sehari sebelum kejadian, log in booking.com terus sahaja menempah bajet hotel rm70 satu malam. Nasib baiklah masih ada bilik yang kosong. Selepas mendaftar masuk jam 4 petang, baring melunjur-lunjur badan dahulu menghilangkan penat di dalam kereta (walaupun tuan empunya diri hanya menjadi penumpang sahaja.. ahaks!). Pukul 6 petang kami berdua terus berjalan tanpa hala tuju sebenar. Rupa-rupanya hotel tempat kami menginap itu terletak berdekatan dengan Sungai Melaka tempat famous pelancong naik boat cruise di sana.
Kami pun terus melangkah sehinggalah terbau-bau aroma durian yang sangat menggoda. Oh! di sebelah kanan kami rupa-rupanya ada satu cafe yang menghidangkan pelbagai jenis cendol, termasuklah cendol durian. Terus kami ke meja kosong dan aku beratur untuk memesan cendol durian satu mangkuk untuk dikongsi berdua. Makan berkongsi-kongsi, begitu romantik terasa, meskipun dalam hati kecil ini sebenarnya mahu makan cendol itu sorang-sorang seluruhnya! Isi duriannya tebal-tebal, ada 2 ulas pula tu. Aku menjeling-jeling sahaja suami bila dia kelihatan begitu berselera sekali menikmati durian tersebut. Bimbang pula rasa kalau dihabiskannya. Begitulah lahapnya seleraku apabila dihadapkan dengan durian. Meriah suasana di situ. Meja-meja diletakkan di luar cafe, jadi para pengunjung dapat terus makan dan minum sambil menikmati permandangan sepanjang Sungai Melaka. Kalau kalian mahu pergi, google sahaja tempatnya : Cendol Kampung Hulu.
Selepas kenyang makan cendol dan roti john,kami meneruskan perjalanan menyelusuri Sungai Melaka. Aku pernah berpengalaman menaiki boat sebelum ini beberapa tahun yang lampau waktu tengahari, tetapi secara peribadi aku lebih gemarkan suasana kawasan ini di kala senja. Tidak terik, dan tidak juga pekat hitam. Warna jingga saat matahari terbenam disimbah dengan sinaran lampu yang menghiasi jalan, bersatu dengan cahaya yang datangnya dari bangunan-bangunan berekabentuk unik ini, ditambah pula dengan lukisan-lukisan pelbagai warna di dinding bangunan, membuatkan suasananya begitu asyik sekali. Dan sekali sekala, boat pelancong lalu dari kedua-dua arah, membelah air sungai. Diam-diam aku terperasan-perasan sendiri yang kononnya kami sedang berbulan madu di luar negara. Kerja kami juga tiada lain, sambil berbual-bual, kau ambil gambar aku.. aku ambil gambar kau, dan kita ambil gambar berdua secara selfie.
Gambar di bawah ini pula aku di celah-celahan puluhan manusia yang membanjiri lorong ini berhimpit-himpit ke hulu ke hilir mencari apa, aku pun tidak tahu. Aku tidak berniat untuk membeli belah, sekadar ingin berpengalaman merasai atmosfera pasar malam yang dikatakan terkenal di bandar ini. Mana lagi, kalau bukan Jonker Street. Tidak aku nafikan banyak yang unik-unik didagangkan, yang antik-antik dijual, memang syurga agaknya untuk mereka yang gemar, tetapi untuk aku, cukuplah sekadar mencuci mata. Aku hanya mencapai sehelai tshirt yang aku beli cenderahati untuk anak bujang yang tak pernah lepas aku ingat dalam hati. . . Aku bukan lagi muda mudi seperti dahulu. Aku hanya orang tua yang ingin tahu. Hati aku sudah tidak seronok lagi dengan bunyi bising, hingar bingar, bau yang menusuk hidung boleh bikin pusing kepala. Satu-satunya sebab aku rasa bahagia dan perjalanan ini bermakna, adalah kerana aku menempuh pengalaman itu dengan seorang lelaki yang aku cinta.
Keesokan harinya, saat suami mengerjakan urusannya di Air Keroh, aku mendaftar keluar hotel jam 10 pagi. Dengan membawa beg sandang dan kamera aku sangkutkan di leher, seorang diri aku mengeksplorasi Jonker Street. Aku sudah dapat mengagak apa yang akan disajikan untuk mataku melihat, kerana sebelum ini pun aku pernah ke sini, cuma tidak aku sangka, ada beberapa pengalaman baru yang aku rasai kali ini.
Aku terus sahaja akur dengan ke mana sahaja kaki membawa aku pergi. Awalnya aku berada di lorong yang ramai manusia tak kira orang tempatan mahupun pelancong luar negara. Aku rasa agak sukar untuk aku merakam gambar dalam suasana begitu. Lalu aku hayunkan kaki jauh dari mereka dan pergi ke kawasan yang sedikit sunyi. Ini membuatkan kepala ku lebih tenang dan jiwaku tidak kacau. Waktu itulah shutter kamera berdetik-detik aku tekan merakam segala yang menangkap hati aku kala itu.
Aku terus berjalan sehinggalah aku bertemu dengan kedai berbidai kuning ini. Di hadapan pintunya ada seorang lelaki yang baru keluar dari kedai. Aku rasa usianya dalam lingkungan umur ayahku. Aku memberanikan diri menegurnya, bertanya jika kedai itu miliknya. Katanya, kedai itu milik rakannya. Aku tidak pernah melakukan perkara ini yakni mengajak orang asing untuk diambil gambar olehku. Entah macamana hari itu datang keberanianku untuk bertanya sekiranya aku boleh mengambil gambarnya berlatarbelakangkan bidai kuning bertona striking itu. Dengan senyum, pakcik itu terus bersetuju. Aku dengan ikhlas memuji-muji penampilannya yang kemas. Dia tersenyum dan menyambut baik pujianku. Aku merakam gambarnya dengan hati yang senang. Hari itu aku belajar satu perkara : If you want something, there is no harm to try. People cannot read your mind. Be genuine and politely, just ask.
Ini pula stranger kedua yang aku sapa. Seorang nyonya yang sedang asyik menghias pohon di hadapan rumah sempena Tahun Baru Cina. Awalnya dia kelihatan malu-malu, dan aku tidak juga terus menyuakan kameraku, sehinggalah dia merasa selesa selepas beberapa minit kami berborak, barulah aku dapat mengambil gambarnya yang sedang asyik begitu. Dalam hati aku rasa seperti ada semangat yang baru. Rupa-rupanya telah aku korek salah satu keupayaan diriku yang sebelum ini tidak pernah aku tahu.
Dan lelaki tua berusia 70 an (sebelah kiri gambar bawah) ini pula mempunyai kisahnya tersendiri. Dia mewarisi kedai ini dari datuk nenek moyangnya yang telah lama mengoperasi bisnes ini sejak tahun 1938. Ia merupakan satu bisnes keluarga turun temurun. Banyak yang dia tanya kepadaku, terutama sekali tentang fotografi. Aku menjadi lebih 'terbuka' dengan pakcik ini dan kami berbual sambil boleh bergelak ketawa. Oleh kerana dia juga minat dalam fotografi, dia pun menunjukkan kepadaku gambar-gambar lama hitam putih keluarganya. Ada sekeping gambar sewaktu dia berusia kira-kira lima tahun, dia meminta aku meneka mana satu dirinya dalam gambar itu. Aku merenung dalam-dalam lantas menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang sedang berdiri di bahagian kiri gambar. Dia mengatakan tepat sekali tekaanku. Secara berseloroh aku mengatakan mataku sudah biasa merakam gambar kanak-kanak, sehingga mereka sudah tua pun aku akan tahu dia yang mana satu! Oleh kerana ramai yang datang ke kedainya waktu itu, aku mengakhiri pertemuan dengan membeli 2 keping fridge magnet untuk buat kenang-kenangan, meskipun dia kelihatan mahu meneruskan perbualan kami. Sekarang, apabila melihat fridge magnet itu di peti aisku, aku akan teringat tentang pertemuan kami yang singkat itu.
Aku bersyukur sepanjang aku berjalan seorang diri di sini, Tuhan sepanjang masa telah melindungiku dari segala malapetaka. Alhamdulillah. Sememangnya sepanjang jalan aku berdoa untuk keselamatan diri. Selalu aku amalkan Bismillahi tawakkal tu 'alallah. Laa hau la wa laa quwwata illa billahil 'aliyil 'azim. Aku tahu ke mana-manapun senjataku adalah doa dan yakin Tuhan akan memelihara.
Kakiku sudahpun penat. Perutku pun sudah lapar. Baru aku perasan rupa-rupanya aku tidak menjamah sebarang makanan pun sejak keluar dari hotel. Agak sukar mencari makanan yang kedainya ada bertanda Halal di sini. Ada satu yang aku tahu, yang berdekatan dengan Masjid Kampung Hulu. The Straits Werks and Cafe namanya. Aku pun ke sana dan orang belum ramai kerana kedai baru dibuka jam 12 tengahari. Aku menempah set asam pedas dan segelas kopi. Sambil makan, aku membuka buku 'Dear John..' satu novel yang sedang aku baca saat itu. Kemudian aku duduk-duduk lagi di bangku menghadap Sungai Melaka, melayan perasaan sendiri, dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Barulah aku melihat telefon untuk online dan update sekeping gambar di instagram. Setelah lelah aku hilang, Terus aku mengambil grab untuk ke Air Keroh yang mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan, untuk bertemu suamiku semula. Sekali lagi, di dalam kereta, bibirku tidak henti berdoa akan keselamatanku, biar Tuhan melindungiku sepanjang masa.





















2 comments:
Bestnya berjalan di Melaka ya, tapi lagi best jalan sorang-sorang sambil ambil gambar kan! Hebatlah kau sis, boleh jalan berseorangan. Kalau aku dah cemas!! Lagipun aku memang tak boleh jalan seorang takut nanti HYPO hahahahaha...Nice post!
Thank you sis.. insyaallah next kita retreat melaka sama2 eh!! Tu lah mula2 hari tu berdebar juga.. tapi doa banyak2. Alhamdulillah..
Post a Comment