Hutan Lipur Lentang
Sejak tujuh bulan yang lepas,setiap minggu kami akan memasuki Lebuhraya Karak menghala ke Pantai Timur untuk mengambil dos vitamin tambahan mingguan. Vitamin itu kami namakan pil gembira. Setelah mengambilnya maka akan stabillah emosi, lapanglah hati dan bersemangatlah jiwa raga untuk mengharungi seminggu lagi hari-hari yang mendatang. Inilah pil gembira kami itu. Si anak bujang yang kini semakin membesar, sudah jarang berada di hadapan mata. Hanya dapat dilihat seminggu sekali.
Kali ini kami tidak bersiar-siar menonton wayang. sebaliknya mengambil peluang berkelah ke Hutan Lipur Lentang yang terletak beberapa minit sahaja daripada maktab tempat anak saya belajar. Meskipun musim hujan sejak akhir-akhir ini, alhamdulillah waktu kami ke sana, cuaca sangat cantik dan dapatlah merehatkan diri sekejap bermain air. Bunyi air sungai yang mengalir di celahan batu, unggas dan bunyi hutan sangat menyamankan halwa telinga. Damai rasa hati.
Selepas kira-kira 2 jam kami menghabiskan masa di sini, kami pun ke pekan Bentong pula untuk membeli barang-barang keperluan asrama untuknya. Kemudian berehat di warung ABC untuk minum petang makan lempeng, cekodok bilis dicicah sambal hitam pahang sebelum menghantarnya pulang kembali.
Alhamdulillah. Ia bukan tentang kuantiti berapa lamanya masa yang kita luangkan, tetapi kualiti masa itu lah yang lebih penting. Meskipun hujung minggu sahajalah peluang untuk berjumpa, dapat saya rasakan hubungan kami sekeluarga semakin erat. Begitulah hikmah yang Tuhan hendak beri atas setiap kejadian. Maka, dalam apa jua pun keadaan yang kita lalui, bersabarlah. Kerana penghujung kesabaran itu pasti ada bahagianya.
0 comments:
Post a Comment